Perakaman elektrik Perakaman_dan_pengeluaran_semula_bunyi

Perakaman bunyi bermula sebagai suatu proses mekanik yang dikekalkan sehingga dekad 1920-an apabila satu siri perekaan yang utama dalam bidang elektronik menukarkan sepenuhnya perakaman bunyi serta industri perakaman yang masih muda itu. Ini termasuk transduser-transduser bunyi seperti mikrofon dan pembesar suara, peranti-peranti perakaman seperti perakam pita, serta juga berbagai-bagai peranti elektronik seperti meja pencampuran yang kesemuanya itu direka bentuk untuk menguatkan dan mengubah suai isyarat-isyarat bunyi elektrik. Selepas fonograf Edison yang mungkin merupakan kemajuan yang paling penting dalam bidang perakaman bunyi ialah sistem-sistem elektronik yang diireka oleh dua orang ahli sains Amerika Syarikat antara tahun 1900 dan 1920.

Pada tahun 1906, Lee De Forest mereka "Audion", injap elektronik tiub vakuum triod, yang amat menguatkan isyarat-isyarat elektrik yang lemah, dan peranti ini kemudian menjadi asas untuk semua sistem bunyi elektrik yang kemudian sehingga perekaan transistor. Ini diikuti dengan cepat oleh perekaan litar jana semula, litar jana semula super, dan litar penerima superheterodin, dengan kesemuanya direka dan dipatenkan oleh Edwin Armstrong, genius elektronik, antara tahun 1914 dan 1922.

Rekaan-rekaan Armstrong menyebabkan perakaman dan pengeluaran semula bunyi elektrik fideliti tinggi menjadi suatu kenyataan praktik, dan memudahkan perkembangan amplifier elektronik, serta banyak peranti yang lain; menjelang awal dekad 1930-an, sistem-sistem ini telah menjadi piawai dalam industri perakaman dan radio. Rekaan-rekaan Armstrong yang penting itu juga memungkinkan penyiaran pemancaran julat jauh suara dan muzik yang bermutu tinggi. Pentingnya litar superheterodin Armstrong tidak boleh diperkecilkan — ia adalah komponen yang utama untuk hampir semua peranti penghantar dan penerima amplifikasi dan frekuensi radio analog pada abad ke-20.